- Lanskap -
Sentuhan daripada bahan terbuang
Oleh Md Fuzi Abd Lateh
PENGGUNAAN bahan terbuang seperti tempayan dan pasu pelbagai ukuran serta batu sungai dalam pembentukan landskap mampu memberikan ilham menarik selain membentuk satu suasana damai kepada pemilik kediaman.
Menyedari hakikat ini, pereka landskap, Faridah Abu Bakar, 44, memanfaatkan barangan sebegini bagi membentuk landskap di banglo miliknya di Bandar Bukit Beruntung yang didiami sejak tiga tahun lalu.
Kedamaian serta keindahan tumbuhan menghijau yang dibentuk di sekeliling kediamannya menambat hati siapa saja yang bertandang dan bukan hanya jiran, kediamannya turut menarik tumpuan peminat landskap dari Kuala Lumpur, Shah Alam dan Sungai Buloh.
Faridah yang sering dibantu suaminya, Ngah Ismail, 52, ringan tangan menyusun dan menanam pelbagai tumbuhan di sekeliling rumah. Setakat ini pasangan ini sudah membelanjakan lebih RM150,000 bagi membentuk landskap di kediaman mereka.
Teknik adunan seni taman moden dan tradisi diterapkan pada rekaan landskapnya yang memperlihatkan penggunaan pelbagai jenis pokok dari buluh kuning, sepit udang sehinggalah ke pandan, jambu dan kaktus.
Di penjuru kiri laman pula dibentuk trek refleksologi yang digunakan mereka sekeluarga untuk tujuan kesihatan.
Usaha yang dilakukan Faridah bukan saja memberikan kedamaian dan keindahan pada kediamannya malah pernah menjuarai pertandingan seni landskap kategori rumah banglo setingkat peringkat daerah Hulu Selangor, premis tercantik. Terbaru, menyandang naib johan pertandingan sama peringkat negeri Selangor.
Kata Faridah, ilham menghasilkan landskap di kediamannya bukan saja berdasarkan apa yang terfikir pada minda tetapi juga berdasarkan pengalaman melawat negara jiran, Thailand serta melalui pembacaan seperti buku Thai Garden Style dan Balinese Garden oleh William Warden.
Sentuhan Faridah bukan sekadar tanaman hiasan di tanah tetapi juga yang digantung di beberapa penjuru rumah yang diisi antaranya dengan orkid rimba manakala teratai dalam pasu tambah berseri dengan pembinaan kolam ikan di satu penjuru rumah yang turut menjadi tempat berehat pada waktu lapang.
Selain itu, Faridah turut membina sudut santai sekeluarga di penjuru kanan halamannya yang mana bangku seminfero yang cantik diletakkan di bawah pokok jambu yang dicantas rendang.
Bagi memberikan nilai tambah pada landskap yang dihasilkan Faridah turut menanam beberapa tumbuhan herba di bahagian belakang rumahnya seperti lengkuas, pandan, serai, halia merah, pegaga, halia putih juga kantan. Selain memanfaatkan bentuk pokok berkenaan yang tidak kurang menariknya ia juga memberikan keharuman di taman di samping digunakan untuk memasak.
Apa yang pasti gaya yang diberikan Faridah pada landskapnya nampak kemas, tersusun dengan kombinasi warna yang menarik, menyerlahkan ilham sebenar yang menekankan kepada kedamaian.
No comments:
Post a Comment