Sunday, April 17, 2005

Pemuda Umno bela nasib 2 beranak


KHAIRUDDIN (tiga dari kiri) bertanyakan sesuatu kepada
Che Nah di Kampung Pulau Pasir Manis, Temerloh sambil
diperhatikan rombongan Pemuda Umno Pahang,
semalam. � Gambar oleh Azmaidi Abidin

TEMERLOH: Nasib seorang warga tua buta dan seorang anaknya yang terencat akal yang tinggal di sebuah rumah kecil serta serba kekurangan di Kampung Pulau Pasir Mandi, dekat sini yang disiarkan Berita Harian baru-baru ini mendapat perhatian Pergerakan Pemuda Umno Pahang semalam.

Ketua Pemudanya, Khairuddin Yaakob serta rombongannya melihat sendiri keadaan dua beranak itu, selain menyampaikan bantuan makanan dan wang tunai bagi mengurangkan beban mereka.

Khairuddin berkata, memang nasib yang menimpa Che Nah Kadir, 65 dan anaknya Rosnani, 30, amat memilukan dan kurang mendapat perhatian sehingga anaknya yang dikenali sebagai Minah itu terpaksa meredah hutan berhampiran untuk mencari kayu api bagi kegunaan memasak.

�Selain itu, bilik air rumah Che Nah juga uzur serta tidak beratap. Dengan itu, hari ini (semalam) Pemuda negeri menghulurkan sumbangan wang tunai dan bekalan makanan kepada dua beranak itu bagi meringankan bebanan mereka.

�Walaupun tidak dapat hadir, Ahli Parlimen Kuala Krau, Ismail Mohamed Said turut menghulurkan bantuan makanan kepada Che Nah dan anaknya,� katanya di rumah warga tua itu, semalam.

Sebelum itu, tinjauan Berita Harian mendapati rumah itu hanya ada serambi, tengah rumah serta dapur tanpa sebarang perabot, manakala keadaan dalam rumahnya tidak terurus. Malah yang ada cuma dapur kayu serta pinggan mangkuk untuk kegunaan dua beranak itu.

Apa yang menyedihkan, mereka yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM135 sebulan sejak 1977 terpaksa berjimat dan kadang kala satu tin sardin terpaksa digunakan dua atau tiga hari untuk dijadikan lauk.

Khairuddin difahamkan ada pihak mahu memberi sumbangan bahan binaan bagi membina bilik air rumah itu.

�Kita akan menyelaras dengan pihak terbabit supaya Pemuda dapat menyumbang tenaga bagi membina bilik air yang lebih sempurna secara gotong-royong,� katanya.

No comments: