Sunday, April 17, 2005

Kes baru denggi menurun

- Edisi Timur -

Kes baru denggi menurun

SEBANYAK 921 kes demam denggi dengan tiga kematian dilaporkan di Pahang bagi tempoh Januari hingga 19 Mac lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan Masyarakat dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Ishak Muhamad, berkata daripada jumlah itu, 599 kes demam denggi termasuk tujuh kes demam denggi berdarah adalah akibat jangkitan tempatan, manakala bakinya adalah kes yang mendapat jangkitan dari luar negeri ini.

Menjawab soalan Datuk Ti Lian Ker (BN-Teruntum), Ishak berkata, aktiviti kawalan dan pencegahan yang dijalankan berjaya mengurangkan kes baru iaitu daripada 119 kes dilaporkan berlaku seminggu kepada 20 kes seminggu.

"Banyak sebab berlakunya denggi yang berpunca daripada gigitan nyamuk aedes termasuk penjagaan kebersihan rumah yang tidak baik, pembuangan sampah tidak terurus serta pengurusan tapak pembinaan dan bangunan awam yang tidak sempurna.

"Kerajaan sudah mengeluarkan amaran denggi pada 10 Januari dengan meminta semua pihak membuat kawalan dan pencegahan menerusi lapan langkah ditetapkan termasuk semua kes denggi yang disyaki klinik dan hospital perlu dilaporkan segera kepada pejabat kesihatan daerah atau pihak berkuasa tempatan untuk pengawalan segera.

"Selain itu, semua tempat berisiko denggi dihapuskan, membuat semburan asap di kawasan denggi, mempertingkat aktiviti pendidikan kesihatan dan penguatkuasaan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit khasnya di tapak binaan dan kilang," katanya.

Ishak berkata, bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini, 102 premis tapak binaan di Pahang sudah diperiksa dan 34 daripadanya positif pembiakan aedes.

Katanya, enam daripada premis itu iaitu empat di Kuantan dan dua di Temerloh diarah tutup, manakala 28 premis tapak pembinaan didenda maksimum RM500.

No comments: